9 Mar 2012

Berita Harian Online | UNIMAP pertaruh UniART1 di Melaka


Oleh Ahmad Fayadh Abdul Manap
bhvarsiti@bharian.com.my
2010/10/07

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UNIMAP) mempertaruhkan kereta lumba rekaannya, UniART1 menyertai `Formula Varsity Race 2010' anjuran Universiti Teknikal Melaka (UTEM) yang akan berlangsung di Melaka International Motor Circuit (MIMC), Melaka selama dua hari bermula 8 Oktober ini (esok).
Naib Canselor UNIMAP, Brig Jen Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, berkata penyertaan itu adalah yang pertama pada pertandingan seumpamanya.
“Kereta lumba ini dibangunkan ahli Automotive Racing Team (ART) yang terdiri daripada pelajar tahun dua dan tiga dengan bimbingan tenaga pengajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik.
“Projek pembangunan UniART1 bermula April lalu dan saya berbangga kerana usaha ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas program penyerahan bendera kepada kontinjen ART pada Majlis Senamrobik bersama Naib Canselor di Kangar, baru-baru ini. 

Formula Varsity Race 2010’ adalah pertandingan peringkat antarabangsa yang memerlukan pelajar merekabentuk dan menghasilkan kereta lumba satu tempat duduk bagi tujuan perlumbaan.
Pertandingan disertai lebih 20 pasukan dari 16 institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara.
Aktiviti bertujuan menyediakan platform untuk mahasiswa mempraktikkan pengetahuan teknikal dan kemahiran yang mereka pelajari. 

Ketua pasukan ART, Muammar Zuhri Zakaria, berkata sebagai pelajar dia bangga kerana diberikan kepercayaan untuk mengetuai pasukan ini.
“Saya berharap UniART1 membawa tuah buat UNIMAP dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan kerana kebanyakan pasukan hebat dan pesertanya berpengalaman luas.
“Selain semangat berpasukan yang tinggi, kami juga membuat perancangan teliti kerana bukan mudah mengendalikan UniART1 tambahan lagi, ia kali pertama menyertainya,” katanya. 

Berita Harian Online | UNIMAP pertaruh UniART1 di Melaka

No comments: